Sabtu, 26 Julai 2008

Suhaimi Yusof, Idolaku

Pelakon yang saya gemari ialah Suhaimi Yusof. Sudah lama saya meminatinya sampailah sekarang. Bukan sahaja dia seorang pelakon yang baik, dia juga seorang pengacara dan pelawak yang amat lucu. Saya tahu ada ramai pelawak di seluruh Singapura tetapi dia sahaja yang saya minati kerana dia adalah seorang pelawak nombor satu. Bila memandang wajahnya, teringat abang saya, Sharul yang berumur lapan belas tahun. Mukanya mirip Suhaimi Yusof.

Saya yakin yang Suhaimi Yusof boleh membuat seluruh Singapura ketawa walaupun negara ini ada bermacam-macam bangsa. Ini kerana Suhaimi boleh bertutur dan berlakon dalam Bahasa Inggeris. Setiap kali saya menonton cerita yang dibintangi Suhaimi, kami sekeluarga ketawa pecah perut. Tiada sesiapa yang boleh membuat kami sekeluarga ketawa kecuali Suhaimi atau abang saya yang kedua. Impian saya adalah berjumpa dengan Suhami Yusof. Kalau berpeluang bertemu dengannya, entah apa agaknya yang akan saya tanyakan.

Sukan Yang Saya Minati

Sukan yang saya gemari adalah bermain basikal kerana ia sangat menarik pada pandangan saya. Kita juga boleh pergi ke sana dan sini dengan menunggang basikal. Saya suka bermain basikal tetapi ada masalah besar iaitu saya tidak tahu bagaimana hendak mengayuh basikal. Saya pernah juga mencuba mengayuh basikal tetapi bila saya kayuh, saya terjatuh pula. Malunya! Saya suka bermain basikal tetapi yang saya paling tidak suka ia bila tayar pancit dan harus pam tayar itu. Jika diberi peluang, saya hendak juga belajar bermain basikal tetapi tiada orang boleh mengajar saya.

Makan... Makan... Makan

Sudah penat bercakap tentang hobi, sekarang saya akan cakap tentang kegemaran seluruh dunia iaitu makan! Makan itu boleh dikatakan kegemaran masa lapang warga negara Singapura yang sanggup berjalan jauh demi mencari makanan yang mereka gemari.

Makanan kegemaran saya adalah makanan ala Jepun iaitu sushi kerana ia juga dibuat dari nasi yang direbus. Kemudian, nasi ini ditambahkan dengan makanan laut lain seperti ketam, ikan dan lain-lain lagi. Sushi yang halal boleh didapati daripada Restoran Jepun Ramen Ten. Kami sekeluarga suka makan sushi kecuali bapa dan adik perempuan saya.

Pencuci mulut kegemaran saya pula adalah ais kacang. Setiap minggu, saya akan makan ais kacang. Saya sukakan ais kacang kerana dalamnya ada jagung, kacang, agar-agar atau jeli dan banyak lagi. Kandungan gula bagi pencucui mulut ini sangat tinggi sebab sirap yang berwarna-warni akan dituang ke atasnya.

Sebenarnya, saya paling gemari masakan nenek saya jika dibandingkan dengan penjual-penjual makanan. Oleh kerana nenek saya sudah lanjut usia, dia banyak pengalaman dan lebih tahu bagaimana hendak memasak makanan yang terbaik untuk cucu kesayangan. Kalau hendak tahu kenapa badan saya comel, mesti cuba masakan nenek. Pasti tidak mahu pulang!

Dangdut

Bukan sahaja tarian Melayu yang saya minati. Saya juga berminat dengan satu lagi jenis tarian iaitu joget dangdut. Dangdut sudah menjadi kegemaran saya yang kedua semenjak saya berumur tujuh tahun. Saya bermula dengan goyangnya. Selepas itu, saya bergoyang sambil turun ke bawah.

Memang saya pemalu orangnya tetapi saya bukan sahaja berjoget dangdut di rumah. Saya juga pernah ke kelab masyarakat bersama kakak saya untuk Pesta Dangdutyang diadakan. Kadangkala, saya ke sana bersama abang-abang saya untuk berjoget di sana. Lagu-lagu yang sesuai untuk tarian dangdut adalah lagu-lagu yang dinyayikan oleh Inul Darastita. Inul adalah seorang selebriti yang terkenal di Indonesia. Bapa saya juga meminati lagu-lagu dangdut yang didendangkan Inul tetapi tidak pernah ke kelab masyarakat kerana leceh katanya. Saya sukakan Inul Darastita kerana dia sangat popular dan pandai bergelek.

Saksikan video Inul kalau awak tidak kenal siapa dia.

Persembahan yang Akan Datang

Kumpulan tarian kami, Tufa Nur Ul-Haq telah mendapat undangan membuat satu lagi persembahan di majlis persandingan sepasang mempelai pada 3hb Ogos dan 10hb Ogos 2008. Saya tidak sabar untuk membuat persembahan pada hari tersebut. Kakak saya telah menetapkan tarian yang akan kami mempersembahkan nanti iaitu tarian Jawa dan joget pada 3hb Ogos manakala pada 10hb Ogos pula kami akan menari tarian inang dan zapin. Semoga persembahan kami nanti mendapat sambutan yang baik seperti persembahan-persembahan kami yang sebelumnya. Tidak sabar rasanya menunggu kedatangan hari tersebut.

Khamis, 24 Julai 2008

Kembangkan Sayap Saya... Kembangkan Kebolehan Saya Lah!

Memang dari dahulu, saya sukakan tarian tradisional Melayu. Sekarang sudah menjadi impian saya untuk menjadi penari yang baik. Untuk mencapai impian saya, saya harus belajar tarian ini hingga akhir hayat. Barulah kebolehan saya dapat berterusan.

Saya bertekad untuk terus bertahan mempelajari seni tarian ini sampai tahap yang saya mampu. Saya inginkan tarian tradisional Melayu ini dikenali bangsa-bangsa lain.

Bila saya sudah besar, saya hendak menjadi seperti kakak saya yang menjadi pelatih tarian yang terkenal. Buat masa ini, kakak saya belum lagi terkenal di seluruh dunia. Kalau kakak atau saya berjaya dalam bidang seni ini, bolehlah kita jadikan tarian tradisional Melayu ini mata pencarian kami. Boleh kaya! Macam Noraniza Idris.

Angan-angan sahaja tidak mencukupi. Mesti terus berusaha!

Penari Idola Saya, Noraniza Idris!

Berjoget di sekolah? Ish, malulah!


Saya tidak suka menari di sekolah kerana sungguh ramai rakan-rakan sekolah. Saya sangat malu untuk berjoget di hadapan satu sekolah. Semasa saya darjah empat, saya pernah berjoget di hadapan sekolah bersama rakan-rakan sedarjah. Kami berjoget bersungguh-sungguh. Walaupun kami menari ramai-ramai, saya tetap berasa malu.

Sekarang saya tidak pernah berjoget di hadapan sekolah. Sungguh malu! Yang menghairankan, saya suka berjoget di luar. Saya harus berjoget dengan baik kerana saya tidak akan memalukan kakak saya. Takut-takut kkalau orang kata dia bukan pelatih yang handal.

Selama ini, saya sudah beroget di luar sebanyak empat kali. Sungguh menarik membuat persembahan untuk khalayak ramai. Orang-orang yang berada di tempat itu tersenyum melihat kami menari. Sebab itulah saya suka menari di hadapan orang-orang yang tidak saya kenali.

Pada Hari Keharmonian Kaum, sekolah saya telah mengadakan pesta. Salah satu acara yang diadakan ialah belajar menari tarian beberapa bangsa yang lain. Saya tidak sempat mengambil bahagian. Ketika saya berada di situ, saya hanya menonton mereka yang sedang menari. Sungguh menggembirakan dapat menonton orang lain menari dengan senyuman mereka. Saya pasti mereka berasa gembira dengan aktiviti yang ada pada masa itu.

Kalaulah mereka dapat menyaksikan saya menari, barulah mereka tahu tentang bakat terpendam saya!

Hambatan

Hendak menjadi penari bukannya sesuatu yang mudah. Walaupun saya minat dalam bidang tarian, ada juga perkara-perkara yang menjadi hambatan. Untuk saya, saiz badan saya dan gerak tari yang sukar kadang-kala mematahkan semangat saya.

Setiap kali ada persembahan, saya ada masalah besar iaitu saiz badan saya. Saya akui, saya tidaklah selangsing penari-penari lain. Pakaian kumpulan saya dijahit oleh nenek saya sendiri. Seringkali, emak saya menyuruh nenek untuk besarkan sedikit baju saya. Namun, pakaian tradisional yang dijahit nenek sangat cantik seperti pakaian permaisuri.

Bukan sahaja masalah saiz yang menjadi hambatan tetapi masalah gerak tariannya juga. Saya tidak gemari gerakan zapin kerana sangat susah. Ada kalanya, saya tidak boleh ingat semua geraknya. Saya selalu terlupa gerak tarinya kerana terlalu banyak yang perlu dipelajari. Salah satu daripadanya ialah harus membengkokkan badan.

Selain daripada itu, ada banyak lagi cabaran yang saya lalui seperti kesuntukan masa untuk berlatih, bersolek dan lain-lain lagi. Maklumlah, saya ini masih seorang penuntut. Saya ada masalah bersolek kerana saya tidak suka bersolek seperti memakai gincu, bedak, celak dan "glitter".

Walaupun menghadapi banyak cabaran, kegemaran saya tetap tarian tradisional Melayu. Saya harap ia berkekalan sebagai kegemaran saya sampai saya lanjut usia macam Puan Som Said.

Isnin, 21 Julai 2008

Persembahan Untuk Warga Emas

Persembahan pertama saya di sebuah rumah tumpangan orang-orang tua. Nama tempat itu ialah Muhamadiyyah. Saya menari dengan dua orang penari sekumpulan dengan saya iaitu Aina dan Julia. Pakaian yang ditempah kami sungguh cantik. Kami juga memakai selendang untuk menari.

Sebagai persiapan untuk persembahan ini, kami telah berlatih lama. Kami selalu berlatih pada setiap hari Sabtu selama tiga jam setiap sesi. Sungguh penat! Kami membuat persembahan ini secara sukarela. Kami memilih tarian kipas kerana tarian ini senang dipersembahkan dan mudah untuk saya ingati. Kami tidak terima apa-apa bayaran kerana tujuan kami ialah menghiburkan warga emas itu dengan sukarela.

Sewaktu saya mempersembahkan tarian kipas itu, saya rasa gembira tetapi sedikit gementar kerana ramai warga emas yang sedang menonton kami. Mereka kelihatan seronok menonton persembahan kami. Kami pilih tempat ini setelah kami mendapat undangan untuk membuat persembahan tarian. Saya rasa saya ingin pergi ke sana lagi kalau kami memdapat undangan. Melalui pengalaman ini, saya mempelajari yang kita harus menjaga orang tua untuk membalas jasa mereka.

Kegemaran Saya

Penari-penari Tufa Nur Ul-Haq
Kegemaran saya ialah menari tarian Melayu. Saya mula berminat dalam bidang tarian ini dua tahun yang lalu. Semenjak itu, saya telah mula mempelajari tarian Melayu. Guru tarian saya ialah kakak saya sendiri. Namanya Nur’ain. Dia berumur 19 tahun. Dia sudah mengajar tarian di Kelab Masyarakat Nanyang selama tiga tahun. Nama kumpulan tarian kami ialah Tufa Nur Ul-Haq. Kami mendapat ilham untuk nama ini daripada salah seorang kawan kakak saya.

Selalunya, saya menari dengan dua orang rakan saya yang bernama Aina dan Julia. Mereka sebaya dengan kakak saya. Selama ini, kami sudah membuat empat persembahan di sebuah rumah tumpangan orang-orang tua, Kelab Masyarakat Jurong, Chinatown dan juga sebuah majlis persandingan. Kami pernah menari tarian selendang dan tarian kipas.

Perkara yang paling saya suka tentang tarian Melayu ialah pakaian tradisional yang kami pakai. Namun, saya tidak berapa gemar memakai alat solek seperti bedak dan gincu kerana saya rimas dan sukar untuk menghilangkan bedak itu selepas persembahan.